Thursday 24 February 2011

BUDAYA KUALITI DAN INOVASI

24HB JANUARI 2011   BUDAYA KUALITI adalah satu aspek besar dan penting yang perlu dikongsi oleh semua pihak. Ini adalah kerana dimensi kualiti adalah penanda kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian-pencapaian kita yang lain. Dalam konteks HUSM, saya berharap agar semua mengambil langkah yang lebih besar dan sistemetik untuk membangunkan inisiatif-inisiatif bagi peningkatan dan pematuhan kualiti secara menyeluruh dan berterusan berpandukan kepada semangat  peningkatan kualiti secara berterusan (TQM). Antara pendekatan kualiti juga yang boleh digunakan ialah penandarasan atau ‘benchmarking’ atau ‘gap analysis’ yang boleh menentukan pencapaian kualiti kita.

Semua pihak sedia maklum bahawa inovasi telah dimartabatkan sebagai agenda nasional yang perlu merentasi segala aspek kehidupan masyarakat. Diperingkat kebangsaan beberapa perancangan telah dibuat termasuk pembentukan jawatankuasa di pelbagai peringkat. Bagi peringkat HUSM pula, kita perlu membuat persediaan yang lebih konkrit bagi menyambut agenda inovasi itu. Kita perlu menjadi pemain utama sama ada kepada negara dan masyarakat mahupun dalam institusi kita sendiri. Saya melihat ada keperluan supaya HUSM membuat perancangan dan tindakan termasuk dalam aspek pembudayaan, pembentukan ekosistem yang meraikan inovasi dan pelaksanaan yang komprehensif dan menyeluruh.

Bagi memulakah langkah, kesedaran perlu wujud dalam diri setiap staf HUSM akan peri pentingnya BUDAYA KUALITI DAN INOVASI. Masalah-masalah kecil ditempat kerja perlu diatasi segera supaya tidak menghambat perjalanan kita untuk meraih kejayaan yang lebih besar. Kita tidak mahu “kerana nila setitik rosak susu sebelanga” dimana perkara yang dianggap remeh-temeh itulah yang menjadi punca kita kehilangan respect atau dihormati. Saya merayu setiap staf HUSM mula menyelesaikan apa jua masalah ditempat kerja masing-masing mengikut pendekatan KIK. Ramai dikalangan kita yang sudah mahir menggunakan ICC tools maka marilah kita semua teruskan budaya ini. 

Petikan ucapan Pengarah HUSM di Majlis Perutusan Tahun 2011 di Auditorium Perubatan Nuklear HUSM.

No comments:

Post a Comment